Monday 2 January 2012

MinGgu 8 & 9


Sepanjang minggu kelapan ini, kami telah melakukan latihan secara berulang kali untuk projek “Healing”. Teori Kecerdasan Pelbagai yang dikemukakan oleh Howard Gardner menunjukkan bahawa kecerdasan seseorang dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan. Beliau telah menyenaraikan lapan kecerdasan yang terdapat pada seseorang. Salah satu kecerdasan yang dapat diaplikasikan bagi subjek Pergerakan Kreatif Teater ini ialah Kecerdasan Kinestetik. Kecerdasan kinestetik (Gardner 1993), merujuk kepada sensori badan terhadap pergerakan. Di samping itu juga, kami turut mengaplikasikan teori pergerakan yang diajar oleh tenaga pengajar yang mana pergerakan terbahagi kepada dua iaitu pergerakan Lokomotor dan pergerakan Bukan Lokomotor. Bagi watak tiga orang budak nakal semasa bermain dihutan, keseluruhan bahagian piece/part tersebut melibatkan pergerakan lokomotor yang mana pergerakan mereka sentiasa berubah kedudukan. Sebagai contoh, mereka telah bermain permainan hide and seek, tali getah dan perang-perang dan secara tidak langsung telah menyebabkan mereka dikehendaki berlari, berkejaran dan melompat. Piece tersebut juga turut mengaplikasikan keempat-empat aspek pergerakan kreatif lokomotor iaitu ruang, masa, beban dan aliran. Sebagai contoh, ketika bermain tali getah, ia melibatkan aspek masa iaitu dimulai dengan gerakan perlahan dan kemudiannya semakin laju.
Manakala bagi piece/part puteri-puteri tersebut, mereka telah mengaplikasikan kedua-dua pergerakan iaitu pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor. Sebagai contoh, persembahan akan dimulakan dengan gerakan oleh keenam-enam orang puteri tersebut secara statik iaitu tidak berubah kedudukan tetapi masih lagi mengekalkan ciri kreatif. Kemudian, puteri-puteri tersebut akan mengaplikasikan pergerakan lokomotor iaitu dengan turun dari kawasan air pancut ke kawasan laman sambil membawa baldi. Semasa melakukan pergerakan, puteri-puteri serta bomoh tersebut juga turut mengaplikasikan Pergerakan Laban atau Laban Movement Analysis iaitu melibatkan aras sama ada aras bawah, sederhana atau tinggi, aliran sama ada ke hadapan, belakang atau sisi serta masa sama ada perlahan, sederhana atau laju. Selain itu juga, terdapat pergerakan serentak atau sama serta pergerakan berlainan yang dilakukan oleh puteri-puteri tersebut.
Sebenarnya, projek “Healing” tersebut sepatutnya dipersembahkan pada minggu kelapan, namun ia ditunda pada minggu kesembilan atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Pada hari Khamis minggu kesembilan, kumpulan saya membuat persembahan “Healing” yang bertempat di depan SITC iaitu di kawasan air pancut. Walaupun cuaca tidak begitu baik kerana hujan rintik-rintik pada hari tersebut, namun kami tetap meneruskan juga persembahan tersebut. Titisan air hujan dan kicauan burung secara tidak langsung telah merangsang Kecerdasan Muzik yang mana setiap bunyi yang dihasilkan memberi perasaan yang berbeza dan mempunyai suatu perasaan yang sukar digambarkan apabila mendengar bunyi-bunyi alam tersebut. Sebelum ini, kami berhadapan dengan konflik iaitu dilema penggunaan ruang badan. Namun, masalah tersebut dapat kami atasi sedikit demi sedikit dengan membuat rujukan di you tube dan juga dengan bimbingan Encik Shuradi. Kami berasa agak berpuas hati dengan apa yang telah kami persembahkan kepada Encik Shuradi dan rakan-rakan yang lain. Walaupun terdapat kekurangan pada persembahan tersebut, namun apa yang penting bagi kami ialah melalui tugasan tersebut, ia sebenarnya merupakan wadah untuk mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain di samping memupuk sikap saling tolong-menolong serta semangat setia kawan.

No comments:

Post a Comment